| |
| Pembahagian zakat dan asnaf-asnaf penerimanya. Ketahuilah, bahawa tiada berhak untuk menerima zakat itu melainkan seorang Muslim yang ada padanya salah satu dari sifat-sifat asnaf delapan yang tersebut di dalam al-Quran al-Karim: (1) Fakir: iaitu orang yang tiada harta dan tiada mampu pula bekerja. Barangsiapa yang boleh bekerja akan terkeluarlah ia dari kategori seorang fakir. Jika ia sedang menuntut ilmu dan yang demikian itu telah menghalangnya dari bekerja maka dikiralah ia seorang fakir dan kekuasaannya untuk bekerja itu tiada dikira. Tetapi kalau ia seorang 'abid (beribadat), sehingga ibadatnya itu menghalangnya dari bekerja disebabkan terlalu banyak ibadatnya dan semua waktunya dihabiskan kerana berwirid maka hendaklah ia disuruh supaya bekerja. Sebab membuat pekerjaan untuk mendapatkan sara hidup itu, adalah lebih penting daripada menghabiskan kesemua masanya pada ibadat dan wirid semata-mata. (2) Miskin: iaitu orang yang pendapatannya tidak mencukupi perbelanjaan yang mesti dikeluarkan. Seseorang itu boleh jadi memiliki seribu dirham, padahal ia boleh dikira miskin sedangkan orang yang tidak memiliki apa-apa kecuali sebilah kapak dan sepotong tali, padahal ia boleh dikira kaya. Demikian pula pondok kecil yang dimilikinya dan sepasang pakaian yang membalut badannya sekadar hal saja, itu semua tidak dapat merampas darinya nama seorang miskin. Begitu juga dengan perkakas-perkakas rumahtangga yang diperlukan di rumah menurut keadaan atau kebiasaan tidak dapat mengeluarkan namanya dari kategori seorang miskin. Termasuk juga kalau ia mempunyai kitab-kitab fiqh yang banyak, kerana tentulah dia berhajat kepadanya untuk mengetahui hukum-hukum agama. (3) Para amil: iaitu orang-orang yang bekerja untuk mengumpulkan zakat termasuk dalam senarai ini semua orang yang bekerja sebagai kerani, jurukira penyimpan harta zakat dan orang yang bertugas untuk memindahkan harta zakat. (4) Orang yang dibujuk hatinya menganut Islam atau yang dipanggil muallaf; iaitu seorang ketua sesuatu puak yang memeluk Islam, sedangkan ia ditaati oleh kaumnya. Sebab diberikan kepadanya sebahagian daripada zakat, ialah untuk mengukuhkan kepercayaannya kepada Agama Islam dan menggalakkan pula pengikut-pengikutnya dan orang lain sepertinya untuk memeluk Agama Islam. (5) Hamba abdi: iaitu untuk maksud menebus dirinya daripada perhambaan, sama ada dibayarkan harganya kepada tuan punyaanya untuk dimerdekakan, ataupun diberikan bahagian perhambaan (sekiranya ia hamba mukatab – pent.). (6) Gharim atau orang yang dibebani oleh hutang: iaitu kiranya ia berhutang kerana tujuan-tujuan ketaatan ataupun kerana sebab yang mubah (harus) seperti perbelanjaan ke atas anak-isteri misalnya sedangkan ia di dalam keadaan fakir, tak punya daya untuk membayar hutang itu. Kiranya ia berhutang kerana tujuan maksiat maka tiadalah ia diberikan dari bahagian zakat itu, melainkan jika ia telah bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Kiranya ia seorang yang kaya (misalnya mempunyai harta benda – pent.), maka tiadalah boleh ditunaikan hutangnya itu dari bahagian zakat, kecuali jika ia berhutang itu kerana faedah dan maslahat orang ramai, ataupun kerana tujuan memadamkan fitnah dan huru-hara. (7) Orang mujahid atau yang berperang fi-sabilillah: iaitu orang yang tiada menerima apa-apa bayaran berupa upahan atau gaji dari negara, maka diberikan kepada mereka itu satu bahagian dari zakat, meskipun mereka itu tergolong orang-orang yang kaya-raya, kerana pemberian itu adalah untuk menggalakkan mereka supaya terus berperang. (8) Ibnu sabil: iaitu orang yang meninggalkan negerinya untuk mengembara ke negeri orang bukan kerana maksiat, atau kerana terlantar di negeri orang dan tak punya wang untuk kembali, maka bolehlah diberikan kepadanya bahagian zakat, kiranya ia seorang fakir ataupun kiranya ia mempunyai harta di negeri lain, diberikan sekadar belanja untuk sampai ke negeri itu saja. Tugas-tugas penerima zakat Orang yang menerima zakat mempunyai empat tugas: (1) Hendaklah ia mengetahui bahawa Allah Azzawajalla mewajibkan pemberian itu untuk mencukupi keperluannya supaya menjadi pertolongan kepadanya untuk mengerjakan ketaatan. Jika dipergunakannya untuk maksiat, seolah-olah ia telah mengkufuri nikmat-nikmat Allah yang diberikan kepadanya. Dengan itu terjauhlah ia dari rahmat Allah dan mendapat kutukan pula daripadanya. (2) Hendaklah ia mensyukuri orang yang memberikan zakat itu sambil mendoakan baginya dan memujinya tetapai hendaklah jangan sampai terkeluar dari menganggapnya sebagai pengantara saja, atau sebagai jalan di mana menerusinya disampaikan nikmat Allah tadi, tidak lebih dari itu, Sebab bagi pengantara atau jalan atau wasitah itu, ada haknya juga dari segi hanya dijadikan pengantara atau wasitah. Dan tiadalah menafikan bahawa asal nikmat itu daripada Allah s.w.t. Telah bersabda Rasullullah s.a.w. "Barangsiapa yang tiada menyukuri manusia, maka tiadalah ia mensyukuri Allah." Allah s.w.t. juga telah memuji hamba-hambaNya, kerana amalan-amalan baik mereka dalam beberapa ayat di dalam kitabNya, tetapi Dia telah menentukan bahawa Dialah yang mentakdirkan semua itu, diantaranya firman Allah: "Sebaik-baik hamba itu adalah yang banyak taubatnya," (Shad: 30) Bersabda Rasulullah s.a.w.: "Barangsiapa memberikan kepadamu sesuatu kebaikan (bantuan), maka hendaklah kamu membalasnya Kiranya kamu tidak mampu maka doakan baginya (dengan baik) sehinga kamu yakin bahawa kamu telah pun membalasnya." Di antara cara menyempurnakan kesyukuran ialah menutupi aib atau cacat-cacat pemberian itu kalaulah ada cacatnya dan janganlah sampai ia menghina atau mencacinya. Jika ia tiada mahu menerimanya kerana kaaiban itu maka janganlah ia mengata nista orang yang memberinya, bahkan handaklah ia menunjukkan besar hati terhadap pemberian itu dan menganggapnya sangat besar ertinya di hadapan orang ramai, Jelasnya tugas pemberi hendaklah memandang kecil segala pemberiannya, manakala tugas si penerima hendaklah menghargakan kenikmatan itu dan membesar-besarkannya. Dan sewajarnya atas setiap satu dari keduanya menunaikan tugas masing-masing. Semua itu tiadalah berlawanan dengan menganggap bahawa nikmat itu datangnya dari Allah Azzawajalla, sebab barangsiapa yang tiada memandang kepada pengantara atau wasitah, maka oarang itu sebenarnya bodoh. Begitu juga orang yang menganggap pemberian itu berasal dari pengantara, maka orang itu telah ingkar. (3) Hendaklah ia meneliti zakat yang diterimanya itu, apakah dari harta yang halal atau tidak. Jika ia bukan dari harta yang halal, maka hendaklah ia bersikap wara'. Janganlah menerima zakat dari orang yang kebanyakan perusahaannya dari hasil yang haram, melainkan bila amat terdesak, maka bolehlah diambil sekadar keperluan saja. Ataupun jika zakat yang diberinya itu dari harta yang serupa itu memang wajib dikeluarkan zakatnya. Pendekata dalam keadaan–keadaan seperti di atas boleh diterima zakatnya sekiranya memang sukar untuk mendapat dari yang halal seratus persen. (4) Hendaklah ia memelihara dari jangan sampai tergelincir ke dalam keraguan dan kesyubhatan dalam kadar zakat yang diambilnya itu, yakni jangan ia menerima, melainkan dalam kadar yang harus diterimanya. Jangan ia menerima juga, melainkan sesudah ia yakin, bahawa ia mempunyai salah satu sifat dari sifat-sifat asnaf yang kedelapan yang telah di tentukan itu. Apabila ia telah meyakini ini, maka hendaklah jangan mengambil atau menerima kadar yang banyak melainkan mengambil sekadar keperluannya saja. Paling banyak boleh diambil untuk menckupi sara hidupnya dalam masa setahun saja. Itulah kadar yang paling tinggi yang dibenarkan oleh syara' baginya untuk menerima sebab Rasulullah s.a.w. sendiri hanya menyimpan perbelanjaan untuk tanggungjawabnya hanya untuk masa setahun saja. Ada pendapat setengah ulama pula yang mengharuskan si fakir untuk mengambil dari harta zakat sekadar membolehkan ia membeli sebidang tanah yang sederhana, sehingga dengan tanah itu, ia boleh mendapat hasil untuk menampung sara hidup sepanjang umurnya dan tidak perlu lagi meminta-minta atau mengambil zakat dari orang lain. Ada yang berpendapat boleh juga mengambil sekadar untuk dijadikan modal perniagaan agar ia tiadalah akan menerima zakat lagi sesudah itu, sebab ketika itu ia telah terkira sebagai orang yang tidak memerlukannya lagi. Saiyidina Umar Ibnul-Khattab r.a telah berkata: Apabila kamu memberi, maka hendaklah kamu memberi sekadar mencukupi hajat orang itu, sehingga ia tiada memerlukan lagi. Dengan pengertian ini, ada pendapat yang mengatakan boleh mengambil sekadar yang boleh memulihkan semula keadaan asal orang yang memerlukannya itu, sekalipun ia mengambil sampai sepuluh ribu dirham. Sekali peristiwa Abu Talhah melahirkan keinginannya kepad Rasulullah s.a.w. untuk menderma-baktikan kebun kurmanya, maka Rasulullah s.a.w. telah bersabda: "Jadikanlah pemberian itu kepada kaum kerabatmu, maka itu adalah lebih utama." Maka Abu Talhah pun memberikannya kepada Hassan dan Abu Qatadah. Sebenarnya sebidang kebun kurma yang didermakan untuk dua orang saja itu adalah suatu pemberian yang besar dan lebih dari mencukupi. Sedekah tathawwu' dan keutamaannya Di antara Hadis yang menyebutkan tentang keutamaan sedekah ialah: "Bersedekah walau dengan sebutir kurma." Dalam riwayat lain: "Takutilah api neraka itu (yakni selamatkanlah dirimu dari api neraka), walaupun dengan bersedekah setengah butir kurma. Jika kamu tiada dapat berbuat demikian, maka dengan perkataan yang baik." Sabdanya lagi: "Setiap manusia di dalam naungan sedekahnya, sehinggalah saat diputuskan Allah antara sekalian manusia (yakni pada Hari Kiamat)." Sabdanya yang lain: "Sedekah secara bersembunyi-sembunyi itu memadamkan kemarahan Allah azzawajalla. Apabila Rasulullah s.a.w. ditanya: Mana satu sedekah yang lebih utama? Baginda menjawab: Bilamana engkau bersedekah sedangkan engkau masih sihat, serta kikir, engkau mengharap jadi kaya dan takut jadi miskin. Dan janganlah engkau menangguhkan sedekah itu, sehingga nyawa telah sampai di kerongkong, maka ketika itu engkau katakan untuk si Fulan sekian banyak, dan untuk si Fulan sekian pula, padahal sememangnya semua itu untuk mereka. Yakni: Kalau dia tidak bilang sekian si A. Atau sekian untuk si B. Memang akan menjadi hak mereka bila sudah tercabut nyawanya. Sabdanya lagi: "Bukanlah seorang miskin itu yang ditolak ketika meminta sebutir atau dua butir kurma, ataupun yang ditolak ketika sesuap atau dua suap makanan. Tetapi yang dikatakan seorang miskin itu ialah orang yang terlalu susah, malah tidak suka meminta-minta. Jika perlu bacalah: (ayat) mereka tiada meminta-minta orang berulang kali." Sabdanya lagi: "Tiada seseorang Muslim yang memberi pakaian kepada Muslim yang lain, melainkan Allah memelihara orang itu, selagi pakaian itu masih digunakan, sekalipun sampai menjadi secarik kain buruk." Dari atsar-atsar cerita lama ialah apa yang dikatakan oleh 'Urwah; bahawasanya Saiyidatina Aisyah r.a telah bersedekah sebanyak lima puluh ribu dirham, padahal bajunya masih koyak-koyak. Saiyidina Umar Ibnul-Khattab r.a pula berdoa: Ya Allah! Ya Tuhanku! Limpahkanlah kurnia kelebihan itu pada orang-orang yang terbaik di antara kami, moga-moga mereka akan mengembalikan kurni-kurnia itu kepada orang-orang yang mempunyai hajat di antara kami. Berkata Ibnu Abil-Ja'ad: Sesungguhnya sedekah itu akan menolak tujuh puluh pintu dari kecelakaan dan keutamaan mengeluarkannya secara sembunyi-sembunyi adalah tujuh puluh kali lebih utama daripada mengeluarkannya secara terang-terangan. Keutamaan sedekah yang disembunyikan Allah telah berfirman: "Jika kamu menampakkan sedekah itu, maka itu pun baik juga. Tetapi jika kamu menyembunyikan sedekah itu dan kamu memberikannya kepada orang-orang fakir, itu adalah lebih utama." (al-Baqarah: 271) Dalam mengeluarkan sedekah secara bersembunyi-sembunyi itu ada lima maksud: Pertama: Memberikannya secara bersembunyi itu akan menutupi rahsia orang yang menerimanya. Jika ia mengambilnya secara terang-terangan akan jatuhlah marwahnya di muka rama, dan terdedahlah keperluannya di mata merka. Dengan itu terkeluarlah ia dari golongan orang-orang yang hidupnya 'afif, iaitu tidak suka meminta-minta dan memelihara dri dari menunjukkan kesusahan di hadapan orang ramai sebagaimana yang dianjurkan oleh agama, hingga ke darjat orag yang tak tahu bila melihatnya, disangkanya ia tidak memerlukan apa-apa. Kedua: Memberikanya secara sembunyi-sembunyi itu akan menyelamatkannya dari sangkaan tak baik di dalam hati orang ramai, atau dari bencana lidah mereka. Sebab mungkin mereka akan menaruh hasad terhadapnya atau mengumpatnya, atau menyangka orang itu berani mengambil meskipun ia tidak perlu. Padahal hasad, sangkaan yang buruk dan mengumpat itu adalah di antara dosa-dosa besar, sedangkan memelihara orang ramai dari dosa-dosa ini adalah lebih utama. Berkata Ayub as-Sakhtiani: Aku tidak suka memakai pakaian yang baru, kerana bimbang kalau-kalau akan berlaku hasad pada diri jiranku. Dan pada riwayat yang lain: kerana takut kalau-kalau saudara-maraku akan berkata: Dari mana dia dapat pakaian baru itu? Ketiga: Menggalakkan si pemberi untuk merahsiakan pemberian itu, sebab keutamaan memberi secara rahsia atau bersembunyi-sembunyi adalah lebih banyak pahalanya dari memberi secara terang-terangan dan menggalakkan untuk meyempurnakan sesuatu yang baik adalah baik. Adalah diceritakan bahawa ada seorang telah membawa sesuatu pemberian kepada seorang alim dan berikannya secara terang-terangan maka orang alim itu menolak pemberian itu. Kemudian di masa yang lain, datang pula seorang lain memberinya sesuatu pemberian secara rahsia, dia pun menerimanya. Bila ditanya tentang sebabnya orang alim itu berkata: Orang ini telah menyempurnakan pemberiannya dengan penuh adab, sebab diberinya aku dengan rahsia, maka aku terimalah pemberian itu daripadanya. Tetapi orang yang pertama itu tidak tahu menjaga kesopanan bila dia memberikan pemberiannya di muka ramai maka aku tidak mahu menerimanya. Setengah orang pula, bila diberikan kepadanya sesuatu pemberian secara terang-terangan di muka orang ramai, dia akan mengembalikannya seraya berkata: Engkau telah mengsyariatkan pemberian ini dengan selain dari Allah Azzawajalla dan engkau tidak memadai dengan Allah semata-mata kerana itu aku akan kembalikan kepadamu kesyirikanmu itu. Keempat: Sesungguhnya mengambil zakat atau sedekah di muka khalayak ramai adalah suatu penghinaan dan kerendahan moral dan tidak seharusnya seorang Mu'min menghina saudaranya dengan pemberian zakat serupa itu. Kelima: Untuk memelihara diri dari syubhat pengongsian, kerana ada sebuah Hadis yang berbunyi: "Barangsiapa yang menerima sesuatu hadiah di hadapan khalayak ramai, maka orang-orang itu berkongsi dalam hadiah itu." Maksudnya: Memberikannya bukan semata-mata kerana Allah, tetapi meminta kepujian orang ramai. Setiap amalan itu adalah bergantung dengan niat maka sewajarnyalah seseorang yang benar-benar ikhlas di dalam amalanya itu berhati-hati terhadap kelakuan dirinya supaya tidak terkecoh oleh rasa kemegahan yang membendung diri atau terganggu oelh tipu daya syaitan. Kita memohon Allah yang Maha Mulia supaya memberikan kita pertolongan dari taufiqNya yang sempurna, Amin. |
Dikutip dari sedekat.net
Tidak ada komentar:
Posting Komentar